Terbuka Australia: Muguruza harap sempat kebah 

By Staff Writer 17 January 2020 37
Terbuka Australia: Muguruza harap sempat kebah 
Garbine Muguruza berharap akan sempat cergas untuk menghadapi Grand Slam Terbuka Australia selepas menarik diri daripada Kejohanan Antarabangsa Hobart akibat diserang virus.

Bekas pemain nombor satu dunia itu memutuskan untuk menarik diri sebelum aksi suku akhir dengan Veronika Kudermetova semalam. 

Pemenang dua gelaran Grand Slam itu dijadualkan akan menghadapi pemain daripada pusingan kelayakan dalam pusingan pertama Terbuka Australia, Selasa ini, dan perlu bersedia menghadapi Karolina Pliskova, Elina Svitolina dan Angelique Kerber dalam merintis laluannya memburu kejuaraan. 

Kata Muguruza di Twitter: "Saya minta maaf. Saya tidak dapat meneruskan permainan hari ini. Saya menghidap demam sejak beberapa hari lalu dan pagi ini, badan saya berkata 'cukuplah'.

"Saya akan berehat hari ini dan berharap dapat pergi ke Melbourne esok. Saya harap dapat beraksi (dalam Terbuka Australia).

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peminat di Hobart atas sokongan dan kasih sayang yang ditonjolkan. Saya berharap dapat kembali beraksi tidak lama lagi."

Sementara itu, Heather Watson menyingkirkan pilihan utama, Elise Mertens, 6-7 (5-7), 6-4, 7-5 untuk mara ke separuh akhir manakala Kudermetova akan berhitung dengan Zhang Shuai.



​Editor: Shaiful Shamsudin 

About Author

Staff Writer

Comment