Thailand belum merancang strategi mempertahankan gelaran juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, namun Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Khairy Jamaluddin, menganggap ia hanya permainan psikologi.

Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Kobkarn Wattanavrangkul, berkata mereka masih belum membuat sebarang strategi meskipun temasya dwitahunan itu tinggal empat bulan sahaja lagi.

"Belum lagi, saya perlu menanti kata putus daripada Gabenor saya," katanya. "Kami akan melihat setiap acara terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pengumuman."

Thailand akan menjadi pencabar utama Malaysia dalam perebutan juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Mustahil, negara paling berjaya dalam sejarah Sukan SEA belum membuat perancangan rapi.

Malah, Thailand dilihat mampu mencipta kejuaraan hatrik selepas Sukan SEA Myanmar 2013 dan Singapura 2015.

"Kami menerima persaingan ini secara terbuka, terutama daripada Thailand. Saya yakin perebutan kali ini akan menjadi sangat sengit di antara Malaysia dan Thailand.

"Tetapi kita perlu ingat Sukan SEA adalah satu sukan persahabatan yang merangkumi satu keluarga besar negara dari Asia Tenggara," jelas Khairy.

Terdahulu, mereka menyertai Larian Baton Bangkit Bersama menjelang Sukan SEA dan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017.

Seramai 11 atlet terbaik Thailand, termasuk pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Sukanya Srisurat dan Sopita Tanasarn dari sukan angkat berat turut mengambil bahagian.

Larian baton itu dibawa melalui bangunan ikonik Thailand seperti Victory Monument dan Siam Paragon sebelum kembali semula di Stadium Tertutup Hua Mark.

Baton kemudian diserahkan kepada Duta Vietnam sebagai simbolik laluan peringkat keenam, 9 April ini.

Sementara itu, kelibat seorang rakyat Malaysia yang tetap meneruskan cabaran walaupun mengalami kekejangan otot menarik perhatian dalam Larian Baton Bangkit Bersama di Bangkok.

Mazlina Mohd Yusof ketika ditemu bual Nadi Arena mengakui semangat untuk mewakili Malaysia dalam larian kali ini menjadi penyuntik motivasi untuknya meneruskan larian.

"Walaupun mengalami kekejangan, tetapi dengan semangat mewakili rakyat Malaysia, saya tetap meneruskan larian.

"Meskipun saya dimasukkan ke ambulans ekoran kejang otot, saya kembali menyertai larian setelah berehat seketika," katanya.