Sukan pelayaran hanya meletakkan sasaran lima pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur susulan pengurangan enam acara berbanding Sukan SEA Singapura 2015.

Pelayaran sebelum ini menjadi tunjang kekuatan kontinjen negara, terutama dalam temasya dua tahun lalu apabila meraih tujuh pingat emas.

Sebaliknya, beberapa acara seperti perlumbaan keelboat dan laser radial bawah 19 tahun telah digugurkan ekoran kurang sambutan dari negara lain.

Pengurus pasukan, Nik Ashraf Qaedi Nik Azizan, berkata situasi berkenaan menjadikan pemburuan emas kontinjen negara dilihat sedikit terjejas.

"Setakat ini, kami berasakan sasaran kami boleh dicapai. Kalau kita lihat dalam Sukan SEA Singapura, daripada 20 acara yang dipertandingkan, kita dapat tujuh pingat emas.

"Kali ini, ia dikurangkan kepada 14 acara, jadi kami menyasarkan lima pingat emas," katanya.

Satu lagi prospek negara dalam Sukan SEA, iaitu skuasy, optimis yang mereka mampu menyapu bersih tujuh pingat emas yang ditawarkan.

Selain acara individu serta berpasukan bagi kategori lelaki dan wanita, Persatuan Raket Skuasy (SRAM) juga berani meletakkan sasaran akan memonopoli acara beregu serta campuran.

"Pasukan utama yang kami hantar adalah daripada skuad Kita Juara. Kami fikir kalau hantar skuad Podium, ia lebih lagi.

"Kami pasukan yang kuat seperti Singapura, ditambah ia turut disertai barisan pelapis," kata Naib Presiden SRAM, Nik Razeen A Dauh.

Pelayaran dan skuasy mempunyai rekod baik dalam membantu kontinjen negara dalam pungutan pingat emas.

2015 adalah tahun kegemilangan buat pelayaran sejak 2001 apabila berjaya menyapu tujuh emas manakala skuasy terus kekal antara sukan penyumbang wajib emas negara.