Skuad golf negara memasang impian besar untuk memberikan saingan hebat dalam Sukan SEA Kuala Lumpur dengan harapan disandarkan kepada pasukan wanita untuk memecah dominasi Thailand.

Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor, berkata mereka hampir mengenal pasti enam atlet negara yang akan membawa cabaran dalam Sukan SEA 2017.

Menerima hakikat penguasaan Thailand masih terlalu ampuh di rantau ini, MGA berharap pasukan wanita, terutamanya, mampu tampil membuat kejutan pada hari pertandingan.

"Jika kami membuat persiapan yang rapi, tidak mustahil Malaysia mampu memberikan cabaran kepada Thailand dalam Sukan SEA," kata Mohd Anwar.

Jelas beliau lagi, MGA tidak mahu pulang dengan tangan kosong seperti di Sukan SEA Singapura 2015.

Justeru, mereka turut mendapatkan pakar psikologi bagi membantu aspek kekuatan mental atlet yang sering menjadi kelemahan atlet negara.

"Daripada pendekatan sains sukan, pakar psikologi akan membantu mempertingkatkan kualiti atlet golf negara bagi menghadapi saingan pada Ogos nanti."