Ketua jurulatih futsal lelaki negara, Chiew Chun Yong masih tidak berpuas hati dengan aksi anak buahnya khususnya di bahagian pertahanan meskipun menang 7-3 dalam aksi persahabatan pertama kem latihan fasa 2 berdepan Felda United.

Kemenangan 7-3 berdepan Felda United masih belum dapat membuktikan sepenuhnya kemampuan barisan pemainnya kali ini.

Chun Yong menjangkakan skuad negara mampu menjaringkan lebih banyak gol selain menyifatkan barisan pertahanan masih tumpul.

Bagaimanapun, ini aksi persahabatan pertama melibatkan lima pemain baharu yang dipanggil menyertai kem latihan fasa 2 dan percaya kesemua pemain masih memerlukan lebih banyak lagi perlawanan kompetitif.

"Saya masih belum berpuas hati dengan persembahan pasukan, saya menjangkakan mereka akan mengawal permainan dengan menggunakan sistem baru. Tetapi pemain-pemain perlu meningkatkan lagi prestasi pada aksi akan datang," kata Chun Yong.

Penyerang negara, Mohd Khairul Effendy pula menyifatkan skuad negara masih belum berada di satu tahap yang selesa jika mahu memastikan pingat emas buat negara di temasya Sukan SEA, Ogos depan.

"Jurulatih gemar menurunkan pemain-pemain yang memiliki kelajuan yang pantas untuk menyesuaikan dengan taktikal yang diterapkan oleh beliau. Kami lebih memberikan tumpuan kepada latihan kecergasan," kata Khairul Effendy.