Sambo: Meeraj ibarat jatuh ditimpa tangga

Oleh Staff Writer 11 September 2019 88
Sambo: Meeraj ibarat jatuh ditimpa tangga
Nasib Meeraj Khan umpama sudah jatuh ditimpa tangga apabila bukan sahaja digantung oleh Persatuan Sambo Malaysia (MSA) kerana mengkritik Majlis Olimpik Malaysia (MOM), malah terbabit dalam kemalangan, Isnin lalu.

Meeraj sebelum ini lantang mengkritik MOM kerana lewat membuat keputusan mengenai status penyertaan atlet negara dalam acara sambo di Filipina.

Tindakan itu dilihat menjejaskan peluang MSA menghantar atlet ke temasya dwitahunan itu, sekali gus memaksa badan induk terbabit menggantung peninju profesional tersebut.

Lebih malang, dia terbabit dalam kemalangan, lantas menjejaskan peluangnya jika MOM meluluskan permohonan MSA ke temasya itu.

Semangat kental, bagaimanapun, tetap dipegang Meeraj biarpun ketika ini, dia sedang dalam proses pulih daripada kecederaan dan dalam masa sama, berdepan kemungkinan dihukum gantung oleh MSA akibat kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini.

"Ketika itu, saya sedang dalam perjalanan ke pejabat MSA bagi menghadiri satu mesyuarat kerana MOM memberitahu tindakan disiplin akan diambil ke atas saya dan memberikan saya surat. Namun, saya mengalami sedikit kemalangan dan terpaksa ke Pusat Perubatan Kelana Jaya," katanya.

"Dalam tempoh dua minggu, saya akan pulih dan kembali ke tahap 100 peratus. Doktor pakar memberitahu bahawa saya mengalami kecederaan pada bahagian tisu paha tetapi tiada apa yang serius."

Tambah Meeraj, "Pertama sekali, saya ingin memohon maaf di atas kritikan yang diberikan kepada MOM. MSA telah mengambil tindakan ke atas saya dan menggantung penyertaan saya ke Sukan SEA.

"Malaysia memiliki peluang untuk meraih kejayaan dalam acara ini, kecederaan yang saya alami tidak begitu serius. Jika saya terpilih ke Manila, saya mampu menghadirkan pingat untuk negara."

Tentang Penulis

Staff Writer

Comment