Berbaki hanya tiga bulan menjelang Sukan Para ASEAN Filipina 2020, chef-de-mission (CDM) negara, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin, meluahkan kebimbangan mengenai persediaan dan pembinaan venue di negara penganjur.

Sejak pulang dari lawatan ke Filipina bagi melihat perkembangan persiapan penganjuran temasya Para ASEAN 2020, Megat Shahriman berusaha memastikan prasarananya menepati kriteria buat atlet para.

Bagaimanapun, presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) itu masih tidak mendapat maklum balas daripada tuan rumah mengenai perkara-perkara yang dimintanya.

"Kami berterusan menghubungi penganjur kerana bimbang mereka tidak dapat memenuhi kriteria (yang diperlukan) mungkin disebabkan kekangan kewangan atau sebab-sebab yang lain.

"Itulah kekhuatiran utama kami," katanya di Stadium Boling Padang, Bukit Kiara, sempena Kejohanan Boling Padang Para Asia Kedua, hari ini.

Namun, satu yang melegakan buat kontinjen para negara ialah berkenaan sekitar perkampungan sukan bagi temasya dwitahunan itu yang akan menyediakan makanan halal.

Malaysia muncul selaku naib juara edisi di Kuala Lumpur, dua tahun lalu, dengan mengumpul 90 pingat emas, 85 perak dan 83 gangsa di belakang juara keseluruhan, Indonesia.