Misi lebih penting buat atlet lempar cakera negara, Abdul Rahman Lee, selepas diberi peluang beraksi buat kali kedua dalam Sukan SEA dengan meletakkan sasaran sekurang-kurangnya pingat perak di Filipina bulan depan.

Penampilan edisi lalu dalam temasya Kuala Lumpur 2017 menyaksikan dia meraih gangsa dengan lemparan sejauh 44.80 meter apabila lawan dari Singapura menarik diri.

Lebih mencabar buat atlet kelahiran Sarawak itu dalam penampilan keduanya dalam temasya itu, dia perlu mengimbangi pelajaran dan komitmen dalam latihan.

Abdul Rahman juga bakal terlepas kejohanan pra-Sukan SEA apabila perlu menghadiri peperiksaan, November nanti.

"Sebenarnya, sekarang saya sedang belajar. Jadi, saya membahagikan masa untuk fokus. Semester ini agak berat buat saya. Saya tidak menggugurkan sebarang subjek dan ia memang sukar," katanya.

Namun, dua kejohanan lain bakal menjadi medan persiapan terakhir sebelum saingan di Filipina membuka tirai tatkala Perak All Comers bakal berlangsung hujung minggu ini selain Terbuka Sabah yang menyusul buat pemenang emas Terbuka Thailand itu.

"Ada dua atau tiga kejohanan sebelum ke Sukan SEA. Sasaran saya sebelum Sukan SEA adalah cuba kekalkan jarak 50m kerana saya sasarkan perak di Filipina nanti."