Presiden Persatuan Hoki Dalam Air Malaysia (MUHA), Ishmael Fadullah Ho, membalas kritikan dengan mengumpul dana berjumlah RM70,000 untuk menampung kos keseluruhan pasukannya bagi menyertai Sukan SEA Filipina, November depan.

MUHA dikritik hebat sejak dua minggu lalu kerana menjalankan kutipan derma untuk menampung kos penyertaan atlet ke Filipina.

Usaha itu turut mendapat bantahan daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Namun, dalam tempoh yang singkat, persatuan itu mendapatkan penaja bagi membayar kos keseluruhan penyertaan berkenaan walaupun MOM hanya meminta 50 peratus daripada bayaran itu dilangsaikan semalam.

Ia membuktikan kesungguhan skuad hoki dalam air negara untuk membuat penampilan sulung dalam temasya berkenaan.

"Kebanyakan yang membantu adalah orang sukan sendiri.

"Jadi, mereka fahamlah. Mereka tengok sukan ini sukan baru dan persatuan ini persatuan baru, jadi mereka sudi membantu.

"Kami bertanya kepada mereka sama ada perlu mempromosikan syarikat atau persatuan mereka dan hampir semua katakan yang kami tidak perlu (melakukannya)," katanya.

MOM akan membuat pengumuman pada Khamis ini mengenai persatuan mana yang gagal membayar bayaran deposit 50 peratus daripada kos penyertaan ke Filipina.

Jika gagal melangsaikan pembayaran itu, atlet sukan terbabit tidak akan dibenarkan untuk menyertai temasya berkenaan.

"Kami gembira kerana persatuan kami dapat menyelesaikan pembayaran kepada MOM dengan cepat.

"Saya amat gembira kerana dapat menyertai Sukan SEA di Filipina.

"Saya amat bersyukur dan gembira," tambah atlet hoki dalam air negara, Wong Hao Yee.