Pemenang pingat perak Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia, Muhammad Rifdean Masdor, tidak akan menyertai kem kebangsaan di ibu negara, sebaliknya diletakkan di bawah pemantauan khusus jurulatih remaja, Bernard Radin, sebagai persediaan ke Sukan SEA Filipina bulan depan.

Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM) mengangkat Rifdean sebagai ketua pasukan biarpun baru berusia 17 tahun.

Ini bakal menjadi penampilan pertamanya dalam temasya dwitahunan itu dalam kategori bawah 45 kilogram.

Bagaimanapun, Rifdean tidak akan menyertai rakan-rakan di Kuala Lumpur berlatih di bawah kendalian jurulatih Thailand, Choochart Luangphon.

Rifdean diletakkan bawah pemantauan bekas jurulatih negara, Bernard, di Ipoh dan langkah itu sudah pun mendapat persetujuan pihak PMM.

"Salah satu sebab peninju muay ini tidak menyertai kem latihan di Bukit Jalil kerana masih lagi mendudukii peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mereka kini di bawah kendalian saya," kata Bernard.

"Saya telah berbincang dengan jurulatih dari Thailand daripada segi perancangan taktikal dan strategi.

"Satu tanggungjawab yang besar bertindak selaku ketua pasukan dalam saingan Sukan SEA nanti. Saya meletakkan harapan yang tinggi untuk membawa pulang pingat untuk Malaysia," kata Rifdean.

PMM meletak sasaran realistik dengan mengutip satu emas di Filipina nanti.

Dua tahun lalu di Kuala Lumpur, skuad muay thai negara menyumbang dua emas, satu perak dan satu gangsa.