Ketua kontinjen negara ke Sukan SEA Filipina, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, tidak akan bertoleransi dengan masalah sistem pemarkahan oleh pihak tuan rumah seandainya ia meragut peluang Malaysia meraih emas.

Filipina kini menghadapi masalah besar apabila sistem pemarkahan yang bakal digunakan untuk temasya dwitahunan itu masih belum boleh berfungsi 100 peratus.

Kegagalan ia beroperasi dengan baik akan menjejaskan masalah membabitkan statistik atlet, catatan masa, jumlah kutipan pingat dan beberapa maklumat penting yang diperlukan sepanjang temasya itu berlangsung.

Megat Zulkarnain mengambil serius perkara itu mengenai kecuaian tuan rumah, namun diberikan jaminan setelah kontraktor berpengalaman dari Malaysia, WSL-MSC, yang pernah mengendalikan sistem ketika Sukan SEA Laos 2009, Indonesia 2011 dan Kuala Lumpur 2017, akan menguruskannya.

"Ketika Sukan SEA bakal membuka tirai kurang daripada 20 hari lagi, terdapat perkara-perkara asas yang masih belum diselesaikan. Jika ia tidak dilunaskan, saya tidak tahu apa yang bakal berlaku di Manila nanti," katanya.

Justeru, beliau sudah memaklumkan perkara tersebut ketika pertemuan dengan semua pegawai dan atlet persatuan ketika bengkel penetapan pingat kontinjen Malaysia tempoh hari untuk bersedia dengan segala kemungkinan daripada pengurusan tuan rumah, Filipina.

"Saya tidak akan bertoleransi terhadap isu ini kerana ia membabitkan kesemua negara yang bertanding dalam Sukan SEA nanti," tegasnya.