Tahun 1959 bukan sahaja menyaksikan berlangsungnya edisi pertama temasya sukan di benua Asia Tenggara tetapi juga pentas buat kontinjen negara membuktikan kemampuan di peringkat serantau.

Mengimbau kembali edisi pertama Sukan SEA 1959, yang ketika itu dikenali sebagai Sukan SEAP, ia membabitkan hanya enam negara.

Masih dikenali dengan nama Malaya, kontinjen negara membawa cabaran di Bangkok, Thailand selain turut disertai Burma (Myanmar), Singapura, Vietnam dan Laos.

Sebanyak 12 acara dipertandingkan, antaranya badminton, olahraga, lumba basikal dan bola sepak.

Kontinjen Malaya diketuai chef-de-mission, Thong Poh Nyen, dengan raja bola sepak negara, Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat, diberi penghormatan selaku pembawa bendera.

Seramai 518 atlet dan 135 pegawai menjadi sandaran dalam temasya berkenaan.

Secara keseluruhan, Malaya memberikan bayangan awal kemampuannya untuk bersaing di rantau ini apabila menduduki tangga ketiga keseluruhan dalam senarai kutipan pingat.

Lapan emas, 15 perak dan 11 gangsa menjadi pulangan yang cukup memberangsangkan, apatah lagi ini kali pertama kekuatan negara dalam sukan pelbagai acara diserlahkan.

Atlet lompat tinggi, Tan Ghee Lin, menjadi penyumbang emas pertama selain kemampuan perenang, Lim Heng Chek, mengungguli dua emas masing-masing bagi acara 100 meter kuak kupu-kupu dan 100 meter kuak lentang lelaki.

Sementara itu, dalam acara bola sepak, Malaya merangkul pingat gangsa dengan aksi bertemu Vietnam mencuri tumpuan berikutan insiden bertumbuk melibatkan S. Govindarajoo dan Tran Ba Ty.

Bagi saingan olahraga, Tan Sri M. Jegathesan, hampir meraih pingat perak acara 400 meter, bagaimanapun, dia terjatuh sebelum sempat melintasi garisan penamat, sekali gus dipintas rakan senegara, V. Velayutham, serta Aung Muong dari Burma.

Nyata sejak dari edisi pertama lagi, kontinjen negara sudah membuktikan mereka antara yang terbaik di rantau Asia Tenggara hasil beberapa pencapaian yang cukup membanggakan.

"Saya berpendapat Malaysia mampu memberikan saingan yang sengit dalam Sukan SEA kerana memiliki atlet yang berjaya menempah nama di pentas yang lebih tinggi," kata Penolong Setiausaha Kehormat, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi.

Lantas, ia menjadi satu cabaran untuk mengekalkan rentak berkenaan bagi menghadapi edisi yang berikutnya di Yangon pada 1961.