Atlet lawan pedang negara, Joshua Koh I-Jie, bergantung kepada sesi latihan selama enam minggu di Pisa, Itali, bagi mempertajamkan kemahiran dan meningkatkan keyakinan diri menjelang temasya Sukan SEA Filipina, bulan depan.

Atlet berusia 28 tahun dalam kategori epee itu akan mengikuti latihan di bawah kendalian jurulatih tersohor dari Itali, Enrico Di Ciolo, di Kelab Scherma Antonio Di Ciolo di Pisa bermula Ahad ini bagi mencapai impian untuk pulang dengan sebutir pingat dari Filipina.

“Tahap keyakinan tidak begitu tinggi pada ketika ini dan percaya selepas latihan bersama peserta berprestasi tinggi akan membolehkan saya lebih yakin. Saya akan berlatih bersama beberapa peserta antarabangsa Itali yang turut berlatih di kelab itu.

“Itali merupakan tempat yang ideal kerana ia adalah negara kuasa besar dalam sukan lawan pedang. Bukan sahaja mereka mempunyai peserta lawan pedang bertaraf antarabangsa tetapi ramai peserta lain dapat membantu meningkatkan tahap kami. Di Malaysia, kami hanya mempunyai peserta lawan pedang yang terhad,” katanya kepada Bernama hari ini.

Joshua, yang menghuni ranking ke-165 dunia dan ketiga di Asia Tenggara di belakng peserta Vietnam, Nguyen Tien Nhat (65) dan Nguyen Phuoc Den (154), mengakui tidak tertekan apabila menjadi sandaran utama membawa pulang pingat daripada temasya dwitahunan itu.

Dia yang aktif dalam sukan itu sejak 2003 memenangi gangsa acara berpasukan dalam penampilan sulung ketika Sukan SEA 2007 Korat sebelum merangkul emas individu dan gangsa berpasukan dalam edisi 2011 Indonesia serta gangsa acara individu pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Dia gagal membawa pingat dalam edisi 2015 di Singapura dan di pentas Sukan Asia, Joshua hanya mampu mara ke pusingan 32 pada edisi 2010 dan p usingan 16 dalam edisi 2018.

-- BERNAMA