Kem olahraga negara menunjukkan prestasi positif sebagai petanda baik untuk cemerlang pada edisi 2021 apabila berjaya melunaskan sasaran lima pingat emas dalam Sukan SEA 2019 di Filipina seperti disasarkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Timbalan Presiden KOM, Datuk Mumtaz Jaafar, mengakui berpuas hati dengan pencapaian atlet dan jika usaha berterusan dilaksanakan dengan baik, masa depan sukan olahraga pasti lebih cerah.

"Bagi sukan olahraga, kita capai apa yang kita hendak. Memang puas hati dengan pencapaian atlet, sama ada kategori A atau B, walaupun kita hilang beberapa pingat.

"Kita boleh lihat masa depan dalam Sukan SEA 2021 di Hanoi. Kita sudah ada pelapis. Kita kena buat persiapan awal. Kita perlu beri lebih pendedahan kepada atlet. Macam tahun ini, ada beberapa atlet sangat kurang menyertai kejohanan," katanya.

Selain meraih lima pingat emas, skuad olahraga turut menghadiahkan sembilan perak dan tujuh gangsa buat kontinjen Malaysia -- di mana kejayaan mereka itu boleh dianggap sebagai pencapaian ​​​​​​membanggakan di luar Kuala Lumpur.

Lima pingat emas itu adalah menerusi Muhammad Haiqal Hanafi dalam acara 100m lelaki, Hakimi Ismail (lompat kijang), Yap Sean Yee (lompat tinggi wanita), Lee Hup Wei (lompat tinggi lelaki) dan Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera).

Mumtaz berkata beliau tidak terkejut dengan kejayaan yang diraih oleh Muhammad Haiqal yang berjaya mempertahankan gelaran raja pecut Asia Tenggara, yang diraih Khairul Hafiz Jantan pada edisi 2017 di Kuala Lumpur serta kejayaan Andre Anura melepasi jarak lapan meter dalam lompat jauh, sekali gus melakar rekod kebangsaan baharu, di sebalik hanya meraih pingat perak.

"Saya rasa dia bakal jadi pencabar utama untuk Hakimi Ismail. Peningkatan prestasi yang bagus. Mereka dari program pelapis Majlis Sukan Negara (MSN) termasuk Muhammad Haiqal.

"Saya tidak terkejut sebab mereka jalani latihan dan menyertai kejohanan dengan cemerlang. Inilah hasil daripada program pembangunan kita. Saya harap mereka ambil pengalaman dari Sukan SEA Filipina," katanya.

Dalam masa sama, Mumtaz berkata KOM dan barisan kejurulatihan akan segera berbincang mengenai program jangka panjang bagi memastikan atlet sedia ada dapat mengekalkan prestasi mereka untuk menghadapi Sukan SEA 2021.

-- BERNAMA