Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, dan Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Kobkarn Wattanavrangkul, akan memulakan peringkat kelima Larian Baton Bangkit Bersama di Bangkok, esok.

Larian sempena Sukan SEA Kuala Lumpur itu akan bermula dan berakhir di Stadium Tertutup Hua Mark dan akan melalui 12 pos utama yang berlatarbelakangkan pelbagai bangunan ikon bandaraya itu.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Nik Abdul Kadik Nik Muhammad, berkata ia menawarkan jarak yang lebih panjang berbanding empat larian yang diadakan di Brunei, Laos, Filipina dan Myanmar sebelum ini.

"Ia melibatkan jarak 24 kilometer dan disertai pelari yang lebih ramai berbanding empat larian di empat negara terdahulu," katanya.

"Esok pagi akan menyaksikan Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand turut berlari bersama Khairy untuk jarak 1.8 kilometer."

Beberapa atlet Thailand seperti pemenang pingat emas Kejohanan Menembak Dunia, Sutiya Jiewchaloemmit, pemenang pingat emas acara angkat berat Sukan Olimpik Rio 2016, Sukanya Srisurat dan Sopita Tanasarn, serta pemenang pingat emas Sukan Paralimpik 2016, Pongsakorn Paeyo, dalam acara lumba kerusi roda, akan turut menyertai larian itu.

Larian Baton Bangkit Bersama bertujuan untuk mempromosikan Sukan SEA Kuala Lumpur kepada rakyat di Asia Tenggara.

Vietnam akan menjadi destinasi keenam dalam siri Larian Baton Bangkit Bersama pada 9 April ini.

Sukan SEA Ke-29 akan berlangsung dari 19-31 Ogos ini manakala Sukan Para ASEAN Ke-9 pula dari 17-23 September ini.