Hasrat skuad lebuh raya negara yang diketuai Mohd Harrif Salleh untuk menyertai Larian Baton Bangkit Bersama di Bangkok, esok, tidak kesampaian kerana terikat dengan jadual Jelajah Thailand.

Skuad kendalian Syed Hussein Syed Mazlan itu yang sudah berada di Bangkok sejak semalam, kini dalam persiapan akhir untuk beraksi dalam peringkat pertama kejohanan itu esok.

Harrif selaku pemenang dua pingat emas Sukan SEA Singapura 2015, berkata dia memang berhasrat menyertai pegawai sukan negara tetapi terpaksa melupakan perancangan itu.

"Kami tidak dapat menyertai larian itu dan saya berharap ia berjalan baik." katanya. "Kalau tiada pertembungan acara, kami memang ingin menyertainya."

"Walaupun kami tidak menyertai larian baton, ia bermakna kami dapat bersama, sebab kami memiliki Jelajah Thailand dengan melibatkan pelumba yang turut beraksi dalam Sukan SEA nanti," kata Mazlan pula.

Peringkat pertama Jelajah Thailand akan bermula dari Bangkok ke Chai Nat dengan jarak sejauh 193.4 kilometer.

Larian Baton Bangkit Bersama bertujuan untuk mempromosikan Sukan SEA Kuala Lumpur kepada rakyat di Asia Tenggara.

Sukan SEA Ke-29 akan berlangsung dari 19-31 Ogos ini manakala Sukan Para ASEAN Ke-9 pula dari 17-23 September ini.