Golf: Natasha ketuai skuad negara ke Manila

Oleh Bernama 8 November 2019 19
Golf: Natasha ketuai skuad negara ke Manila
Pemain golf wanita negara, Natasha Andrea Onn, akan mengetuai pasukan negara dalam Sukan SEA Filipina 2019 yang dijadual berlangsung di Luisita Country Club di Clark, Filipina dari 4 hingga 8 Disember ini.

Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor, berkata pemilihan Natasha dan enam pemain lain dibuat oleh Jawatankuasa Kecil Pasukan Kebangsaan yang diketuai beliau sendiri dan kriteria pemilihan adalah berdasarkan prestasi pemain bagi tempoh Jun hingga Julai tahun ini.

Kriteria itu adalah menjuarai kejohanan golf antarabangsa, juara Sukan Malaysia, ranking golf amatur dunia, ranking pemain sifar (scratch), purata pukulan di samping disiplin dan sikap pemain.

“MGA telah mendapatkan khidmat (jurulatih golf profesional), Kim Baldwin (dari Australia), dan (bekas pemain golf wanita negara), Lim Ai Lian bagi memastikan pelan strategik kami diuruskan dengan profesional bagi memastikan pemain kita meraih kedudukan podium,” kata Mohd Anwar menerusi kenyataan yang dikeluarkan MGA.

Selain Natasha, pemain lain ialah Ervin Chang, K. Rhaasrikhanesh, Adam Arif Madzri dan Zubair Firdaus dalam kategori lelaki, manakala dua lagi, Alya Abdul Ghanny serta Ashley Lau, dalam kategori wanita.

Natasha, 17, yang berpangkalan di Amerika Syarikat, mempamerkan persembahan memberangsangkan musim ini dengan memenangi Kejohanan Amatur Terbuka Malaysia Jun lalu di Sarawak di samping berkesudahan di tempat teratas dalam dua daripada tiga acara peringkat kolejnya, termasuk memenangi Kejohanan Gold Rush di Amerika Syarikat, Februari lalu.

Chang, yang meneruskan pengajian di  Liberty University di Amerika Syarikat juga mencapai keputusan positif, termasuk muncul sebagai pemain amatur terbaik Terbuka Singapura, sebuah acara profesional Januari lalu, sebelum menempatkan diri dalam lima kedudukan teratas dalam beberapa kejohanan peringkat kolej di Amerika Syarikat.

Rhaasrikhanesh turut memenangi beberapa kejohanan tahun ini, paling jelas kejuaraan berturut-turut masing-masing dalam edisi ke-11 Cabaran Golf Tan Sri Muhyiddin Mei lalu dan Kejohanan Amatur Terbuka Kelantan ke-45, Julai lalu.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam Sukan SEA adalah memenangi pingat perak menerusi Gavin Kyle Green dalam acara individu lelaki edisi 2013 di Naypyidaw, Myanmar.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Comment