Felicia azam perbaiki masa peribadi

Oleh Willie Jude 15 September 2017 1786
Felicia azam perbaiki masa peribadi
Atlet para negara, Felicia Mikat, berazam mahu memperbaiki catatan peribadinya bagi acara 100, 200 dan 400 meter wanita kategori T13 (masalah penglihatan) dalam Sukan Para Asean di Kuala Lumpur yang bakal membuka tirainya, Ahad ini.

Dua tahun lalu, anak jati Sabah berusia 18 tahun yang berasal dari Tambunan itu berjaya membuka mata pelbagai pihak apabila memenangi acara pecut 100 meter dengan catatan masa 14.72 saat, seterusnya menewaskan peserta dari Brunei Darussalam, An nur Haiyyu Md Yussof, Souliphone Vongdala dari Laos dan Dong Thi Hai Yen dari Vietnam. 

Selain itu, dia turut memenangi acara 200  dan 400 meter bagi menewaskan pesaing sama dalam temasya yang berlangsung di Singapura, ketika itu.

Pada tahun ini, Felicia tidak mahu terlalu fokus untuk mendapatkan pingat kerana apa yang lebih penting baginya adalah bagi memperbaiki catatan peribadi.

Untuk 100 meter, Felicia sudah pun mencatat 14.50s ketika Sirkit Olahraga Para Kebangsaan di Lumut manakala dalam 200 meter pula, dia mempunyai catatan 30.40s dalam Kejohanan Balapan dan Padang Sukan Sekolah-Sekolah Pendidikan Khas di Sabah.

"Sasaran saya kali ini adalah memperbaiki catatan masa peribadi saya walaupun saya berharap untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi, dua tahun lalu, namun bagi saya ia adalah perkara kedua," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Felicia berkata persiapannya bagi menghadapi temasya itu berjalan lancar dengan dia menjalani latihan di Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur.

"Kami mula berkampung di Kuala Lumpur sejak 3 September lalu untuk menjalani latihan, namun sebelum itu saya juga gigih berlatih di Kota Kinabalu," katanya.

Felicia akan bersaing bagi acara 100 meter, Isnin ini, disusuli acara 400 dan 200 meter, masing-masing pada Selasa dan Rabu ini.

Tentang Penulis

Willie Jude

Comment