Faizul dinobat Olahragawan Negeri Selangor

Oleh Staff Writer 1 April 2017
Faizul dinobat Olahragawan Negeri Selangor
Pesilat negara, Muhammad Faizul Nasir, dinobatkan olahragawan sukan negeri Selangor bagi tahun 2015 dan 2016 sementara gelaran olahragawati menjadi milik atlet karate, Syakilla Salni Jefry Krishnan.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Singapura 2015 itu berjaya mengetepikan dua calon, Chew Yi Wei daripada sukan terjun dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis daripada sukan berbasikal.

Menurut Faizul, kejayaan itu beri satu lonjakan semangat paling kuat buat dirinya dalam usaha mempertahankan pingat emas dalam kategori tanding Putera B dalam Sukan SEA 2017, Ogos nanti.

"Ini satu suntikan semangat yang besar bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur.

"Ketika ini persiapan adalah mengadakan latihan luar di Melaka dan seterusnya di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam sebelum beraksi dalam Kejohanan Terbuka Belgium pada Mei," kata Faizul.

Sukan renang berjaya menguasai kategori olahragawan dan olahragawati harapan melalui dua perenang negara, Yeap Zheng Yang dan Nadia Adrianna Redza.

Kini, mereka berdua yang sedang melalui program Kita Juara berharap akan diserapkan dalam skuad ke Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

"Saya tidak dapat beraksi dalam Terbuka Malaysia kerana saya perlu menduduki peperiksaan. 

"Tetapi saya berharap apa yang saya kecapi sebelum ini mampu membawa saya ke Sukan SEA," kata Nadia.

Anugerah disampaikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang turut diiringi anakanda baginda, Tengku Amir Shah, di Shah Alam, semalam.

Tentang Penulis

Staff Writer

Comment