VIETNAM 4 KEMBOJA 0
INDONESIA 4 MYANMAR 2


Vietnam dan Indonesia akan bertemu dalam final bola sepak Sukan SEA Filipina di Stadium Memorial Rizal, Selasa ini selepas menewaskan lawan masing-masing dalam separuh akhir di venue sama hari ini.


Vietnam mengesahkan laluan selepas membelasah Kemboja 4-0 sebentar tadi.

Pasukan pilihan utama itu memecahkan kebuntuan pada minit ke-20.

Menerusi serangan balas pantas dari sebelah kanan, Ha Duc Chinh melintangkan lambungan ke arah Nguyen Tien Linh, yang melompat tinggi untuk menanduk masuk bola ke penjuru gawang lawan.

Enam minit kemudian, mereka menggandakan kelebihan itu dengan Duc Chinh menggunakan kepantasan lariannya untuk mengejar hantaran jauh sebelum melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan penjaga gol, Keo Soksela.

Pada penghujung babak pertama, Vietnam ternyata pasukan yang berada di kelas berbeza apabila skuad kendalian Park Hang-seo itu menembusi bahagian sayap Kemboja sebelum Truong Van Thai Quy melakukan hantaran ke 'near post' yang ditanduk masuk Duc Chinh.

Gol keempat pula hadir pada minit ke-68 apabila Thai Quy melakukan sepakan sudut rendah ke arah Duc Chinh, yang menyumbat hatriknya.

Dengan kemenangan itu, Vietnam akan bertemu Indonesia dalam final.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir pada sebelah petang, Indonesia terpaksa menangani kebangkitan Myanmar sebelum mengesahkan tempat ke final.

Selepas terikat tanpa jaringan sepanjang babak pertama, skuad Garuda Muda itu memecahkan kebuntuan pada minit ke-48 menerusi penyudah Evan Dimas yang tidak dikawal.

Egy Maulana Vikri kemudian menggandakan kelebihan itu dengan menanduk masuk bola daripada sepakan percuma Bagas Adi dari sebelah kanan.

Ketika Indonesia sedang berkira-kira untuk ke final, dua kesilapan mudah yang dilakukan mereka hampir merenggut impian itu.

Zulfiandi kehilangan bola di kawasan sendiri pada minit ke-79 untuk Lwin Moe Aung melorongkan bola ke arah Aung Kaung Mann, yang memanfaatkannya untuk menewaskan penjaga gol, Nadeo Argawinata.

Seminit kemudian, Nadeo keluar dari kawasannya untuk menghentikan hantaran Aung Naing Win, namun dia kehilangan kawalan untuk membenarkan Win Naing Tun menolak bola ke gawang yang sudah tidak dijaga.

Dalam masa tambahan, Indonesia kembali di depan pada minit ke-102 dengan Asnawi Bahar melakukan hantaran lintang untuk ditolak masuk penyerang sensasi, Osvaldo Haay.

Pada baki tujuh minit sebelum tamat, Evan mengesahkan kemaraan Indonesia menerusi jaringan kedua peribadinya.

*Sumber: Fox Sports