MALAYSIA 69 THAILAND 80

Skuad bola keranjang negara terpaksa pulang awal apabila gagal mengatasi Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan B, sekali gus berputih mata gagal mara ke separuh akhir Sukan SEA Ke-30.


Skuad negara gagal dalam misi hidup mati mereka apabila tewas 80-69.

Awal perlawanan melihat Malaysia setanding dengan Thailand. Bagaimanapun, memasuki suku ketiga dan keempat perlawanan, Malaysia melakukan beberapa kesalahan mudah yang mengakibatkan kekalahan mereka.

"Malaysia turun tanpa barisan pemain yang berkualiti daripada teknik dan fizikal. Kami gagal melakukan jaringan yang baik hari ini," kata jurulatih negara, Brian Lester.

Walaupun pemain bola keranjang negara, Ting Chun Hong, mempamerkan aksi cemerlang, kekalahan yang dialami dalam perlawanan terakhir Kumpulan B itu jelas mengecewakannya.

"Kami ketinggalan 11 mata dan kerap mengejar permainan. Malaysia turun dengan barisan pemain muda dan gagal menyerap tekanan."

Skuad bola keranjang negara masih berpeluang meraih pingat melalui kategori wanita, namun merupakan misi yang sukar selepas tewas dalam perlawanan pertama menentang Thailand.