MotoGP: Hafizh Syahrin tiada pilihan

Oleh Bernama 20 Mac 2019 21049
MotoGP: Hafizh Syahrin tiada pilihan
Petronas Yamaha SRT menegaskan tiada tempat untuk Hafizh Syahrin Abdullah dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim depan jika dia gagal mempamerkan keputusan cemerlang musim ini. 

Prinsipal pasukan Petronas Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali, memberi peringatan tersebut susulan prestasi kurang memberangsangkan pelumba Red Bull KTM Tech 3 itu dalam perlumbaan pertama Kejuaraan MotoGP di Qatar, dua minggu lalu.

Razlan menjelaskan pasukan MotoGP pertama Malaysia itu kini sudah mengikat kontrak dengan dua pelumba, termasuk Hafizh Syahrin, bagi tempoh dua musim sehingga 2020. 

"Saya tidak mahu diberi tekanan pada hujung tahun, orang tanya 'Hafizh nak pergi mana?'. Saya tidak mahu tekanan nanti ada yang suruh ambil dia musim depan jika dia ada masalah. Kontrak dengan pelumba lain dua tahun, jadi tidak ada tempat untuk Hafizh tahun depan (jika gagal capai keputusan cemerlang musim ini). 

"Saya tidak mahu dia fikir cara selamat dengan Petronas. Musim ini Hafizh kena kerja lebih keras dan rajin buat latihan supaya kesilapan sama tidak berulang," katanya kepada pemberita hari ini.  

Razlan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) turut menasihatkan Hafizh Syahrin supaya tidak lagi membandingkan jentera baharunya, KTM, dengan jentera sebelum ini, Yamaha, dan menjadikan ia sebagai alasan susulan prestasi kurang memberangsangkan itu. 

Beliau berkata Hafizh Syahrin perlu mencari jalan untuk memastikan dia lebih selesa dengan jentera baharunya itu dalam perlumbaan seterusnya dalam MotoGP Argentina pada 29 hingga 31 Mac ini. 

"Kalau dia tidak sedar apa yang berlaku kepada dia selepas pusingan pertama, maka dia dalam masalah. Saya tidak mahu dia fikir hanya untuk tahun ini, dia kena fikir berapa lama dia boleh berada dalam MotoGP. 

"Macam saya kata dulu, dapat (bersaing dalam) tahun pertama itu rezeki, ia mungkin bukan paling susah, yang susahnya ialah berapa lama boleh bertahan dalam MotoGP," katanya. 

Razlan menegaskan pihaknya akan terus memberi sokongan kepada Hafizh Syahrin daripada segi meningkatkan kecergasan fizikal dan psikologi di Institut Sukan Negara (ISN). 

Untuk rekod, Hafizh Syahrin menamatkan saingan di tempat tercorot dengan catatan 43 minit 20.144 saat manakala rakan sepasukannya, Miguel Oliveira dari Portugal, berada di kedudukan ke-17 selepas mencatat 42:53.279s dalam perlumbaan di Sirkit Antarabangsa Losail, Qatar itu.

-- BERNAMA  

Tentang Penulis

Bernama

Comment