Presiden Kelab Kriket Remaja Zalmi (ZYCC), Mudasir Fazir Karim, berharap akan lebih ramai warga tempatan, khususnya golongan belia, menggiatkan diri dengan sukan kriket.

Walaupun kurang popular, katanya, kriket sebenarnya mempunyai potensi untuk berkembang di negara ini, khususnya di Sabah, malah dia yakin tidak mustahil untuk pasukan negara layak ke Piala Dunia, satu hari nanti.

"Sehubungan itu, saya mengalu-alukan semua belia di Sabah untuk belajar mengenai sukan kriket dan pihak kami sentiasa sudi membuka peluang kepada mereka yang berminat," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Mudasir juga mendedahkan mula meminati kriket ketika berusia enam tahun lagi, malah pernah mewakili Sabah untuk skuad bawah 19 tahun pada 2011.

"Selepas itu, saya terpaksa berhenti selepas mendapat nasihat daripada ayah saya kerana ketika itu kami menghadapi masalah kewangan selain tidak berpuas hati dengan keputusan pengurusan yang dilihat berat sebelah.

"Sekarang, saya sudah berusia 24 tahun dan oleh kerana cinta saya kepada kriket, saya mula menubuhkan ZYCC.

"Sebenarnya, kriket memberi banyak inspirasi kepada saya dan antara idola saya ialah pemain Pakistan, Imran Khan, yang pernah membawa pasukan negaranya memenangi Piala Dunia. Kini dia adalah Perdana Menteri Pakistan," katanya.

Sementara itu, Mudasir turut mencabar mana-mana kelab kriket yang ada di negara ini untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelabnya.

"Sebelum ini saya telah memohon untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad negara, namun ditolak kerana mereka menganggap kami bukan tandingan," katanya lagi.