Skuad terjun negara kehilangan khidmat jurulatih berkaliber apabila pengendali program Kita Juara, Zhao Wei, bakal meletakkan jawatan selepas empat tahun menabur bakti di Malaysia.

Zhao Wei, yang mula tiba di Malaysia selepas Sukan Olimpik London 2012, dijadual pulang ke China pada 27 Januari ini.

Pada awalnya, Zhao Wei dilantik sebagai penolong jurulatih skuad senior kebangsaan sebelum ditukarkan ke program Kita Juara, tahun lalu.

Bekas penerjun kebangsaan China itu turut terbabit membentuk beberapa penerjun muda seperti Nur Dhabitah Sabri dan Mohd Amsyar Azman hingga layak ke Sukan Olimpik Rio 2016.

Namun, dia mengambil keputusan untuk pulang ke China atas faktor peribadi.

"Cukup sukar untuk membuat keputusan ini," kata Zhao Wei. "Saya meraih banyak pengalaman di Malaysia. Saya tidak tahu sama ada akan meneruskan kerjaya sebagai jurulatih kerana perlu menyelesaikan beberapa perkara selepas kembali ke China."

Ketiadaan Zhao Wei menyaksikan program Kita Juara dikendalikan Huang Qiang buat sementara waktu.

Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) sudah mengenal pasti calon pengganti yang dikatakan juga berasal dari China.