Ketua jurulatih skuad berbasikal lebuh raya negara, Mohd Yusof Abd Nasir, memiliki tempoh seminggu untuk menguji Anuar Manan sama ada pakar pecut itu mampu menggalas cabaran negara dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 bulan depan.

Yusof berpuas hati dengan sesi latihan pertama pelumba itu bersama skuad negara.

Pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu berjaya mengekalkan rentak kayuhan dalam sesi latihan sejauh 140 kilometer yang turut disertai nama lain seperti Nik Azwan Zulkifli, Sofian Nabil Omar, Elmi Jumari dan Mohd Izad Hilmi Abd Halil.

"Kami harap dia dapat tampilkan prestasi terbaik. Dalam masa sama, kami memiliki tiga pelumba pecut untuk dipilih ke LTdL iaitu Elmi, Anuar dan Izad. Daripada tiga nama itu, kami akan pilih satu atau dua pelumba ke LTdL," kata Yusof.

Peringkat perlumbaan LTdL edisi ke-25 itu banyak membabitkan laluan landai, sekali gus memberi kelebihan kepada pakar pecut seperti Anuar.

Dia masih diingati sebagai pelumba pertama negara menjuarai saingan perlumbaan LTdL, iaitu peringkat kelima pada 2010.

"Mungkin masih awal, program ini bagus kerana ada dua atau tiga kali melibatkan pendakian bukit. Kemudian, ada jarak tertentu. Selepas Jelajah Selangor, ada sedikit rehat, jadi ini adalah untuk dapatkan semula jarak," kata pelumba itu.




Editor: Nafis Abdullah