Ahli Lembaga Pengarah, Yayasan Kebajikan Bekas Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majid, mendedahkan badan itu terdesak mendapatkan dana dan berdepan kemungkinan ditutup jika tidak dibantu sehingga Oktober depan.

YAKEB memerlukan RM2 juta setahun untuk membantu kos perubatan bekas atlet negara.

Bagaimanapun, dana untuk tahun ini tidak diperoleh ekoran perubahan kerajaan hingga menyebabkan YAKEB di ambang penutupan.

Untuk rekod, YAKEB memiliki 2,742 ahli seperti legenda hoki, Datuk Mirnawan Nawawi, Datuk Ng Joo Ngan (basikal) dan Nazmizan Mohamad (olahraga).

"YAKEB banyak bergantung kepada bantuan kerajaan. Kerajaan sepatutnya membantu YAKEB bagi tujuan menjalankan kebajikan membantu atlet.

"Jika tidak, atlet tidak tahu ke mana (untuk mengadu) dan untuk itu, kami memerlukan Kementerian Belia dan Sukan.

"Baki dana yang ada ketika ini hanya cukup untuk menampung YAKEB selama tiga bulan lagi.

"Selepas itu, tidak tahulah macam mana nasib YAKEB. Kami sedang mencari jalan untuk berjumpa dengan Kementerian Belia dan Sukan," kata Noorul Ariffin mengenai badan kebajikan itu yang telah membantu hampir 2,500 bekas atlet negara.

YAKEB menyediakan pelan perubatan sebanyak RM20,000 untuk setiap ahli bagi mendapatkan rawatan.

Ia bagi menghargai pengorbanan bekas atlet negara memandangkan ada yang tidak mempunyai pekerjaan selepas bersara.