Vasiljevs ditawar kontrak jangka pendek

Oleh Staff Writer 25 Mei 2019 1301
Vasiljevs ditawar kontrak jangka pendek
Tindakan terdesak bekas ketua jurulatih skuad karate negara, Andris Vasiljevs, datang ke Malaysia berbaloi apabila Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju untuk menawarkan kontrak jangka pendek buatnya bagi membantu diva negara, Syakilla Salni Jefry Krisnan, melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Jurulatih itu datang ke Malaysia dengan menggunakan wang sendiri minggu lalu dengan harapan MSN akan meluluskan permohonannya untuk membimbing atlet kumite 55kg, Syakilla.

Selepas seminggu berada di Malaysia, pengendali kelahiran Latvia itu memastikan Syakilla berlatih secara konsisten di sekitar Bandar Sukan Kuala Lumpur, sekali gus meningkatkan keyakinan MSN.

Namun, apa yang menghairankan, MSN lebih mempercayai Vasiljevs daripada Institut Sukan Negara (ISN), yang sebelum ini dipertanggungjawabkan dalam program dua bulan untuk menurunkan berat badan Syakilla daripada lebih 65kg kepada 55kg semula.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli, sebelum ini mendedahkan Syakilla kerap tidak menghadiri program khas yang telah diatur untuknya.

"Kami sedang berbincang tentang butiran mengenai kerjasama program Syakilla.

"Saya sudah dimaklumkan tentang beberapa perkara mengenai isu ini.

"Kami berbincang selama beberapa hari mengenai butiran berkenaan," kata Vasiljevs.

Vasiljevs dilantik sebagai pengendali skuad kumite negara pada 2012 sebelum khidmatnya ditamatkan Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Disember lalu.

Ia berpunca daripada kegagalan skuad kumite negara mencapai sasaran dalam Sukan Asia Indonesia, Ogos lalu di mana Malaysia hanya meraih satu pingat gangsa menerusi Prem Kumar dalam kategori bawah 60kg.

"Kami sudah membentangkan visi mengenai bagaimana kami akan melakukan proses yang lebih efisyen.

"Kami sudah membentangkan visi itu kepada (Ketua Pengarah MSN) Datuk Shapawi dan pihak pengurusan tertinggi yang lain.

"Jadi, kami memerlukan beberapa hari untuk menentukan perincian lain," tambahnya.

Sementara itu, Syakilla -- yang digelar pengkritik sebagai diva nombor satu sukan negara gara-gara pelbagai kerenahnya di sebalik gagal menurunkan berat badannya sejak sebelum Sukan Asia tahun lalu lagi --  tetap berpuas hati walaupun perancangannya untuk berlatih di Latvia dibatalkan. 

Ia kerana dia mendakwa berjaya menurunkan berat badannya walaupun hanya seminggu menjalani latihan ringan di sekitar Bandar Sukan Kuala Lumpur.

Keajaiban apakah ini kerana selama 10 bulan sebelum ini dia gagal menurunkan berat badan tapi mampu melakukannya selepas hanya seminggu di bawah pengawasan Vasiljevs?

MSN dan ISN perlu memastikan semua pihak lebih telus dalam menangani kemelut yang membelenggu Syakilla agar tiada sesiapa yang mengambil kesempatan.

"Keputusan ini amat positif dan saya dapat berlatih dengan jurulatih lama saya.

"Tetapi perkara-perkara lain masih dalam perbincangan sebab setakat ini saya hanya berlatih bagi satu sesi dan turun sebanyak 4kg.

"Perkembangannya amat positif dan saya mengharapkan yang terbaik," kata Syakilla lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Comment