Kejohanan sulung musim 2020, Terbuka Uzbekistan bakal menjadi medan ujian ketahanan fizikal buat skuad silat olahraga negara dalam mempersiapkan diri menjelang Kejohanan Dunia, Julai ini.

Sebelum ini skuad kebangsaan menonjol aksi cemerlang menerusi kemenangan empat pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa dalam Kejohanan Pencak Silat Asia Yanji, China.

Perkara itu menyaksikan tonggak utama skuad negara, Al-Jufferi Jamari, lebih optimis dalam menggalas tanggungjawab di Uzbekistan meskipun bakal berdepan cabaran berbeza.

Jufferi bersama sebelas pesilat lain kini dalam fasa akhir persiapan sebelum berlepas ke negara itu Jumaat ini.

"Kami sedang menyusun strategi untuk berhadapan saingan di Uzbekistan. Tahap fizikal mereka jauh lebih baik berbanding pesilat negara jadi strategi dan corak permainan yang bijak harus ditampilkan," kata Al-Jufferi.

Dalam perkembangan lain, Al-Jufferi gembira dengan perancangan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) mengenai penubuhan pasukan pelapis kebangsaan dalam masa terdekat.

"Ini merupakan satu perkara yang baik bagi meningkatkan lagi persaingan antara pesilat. Sebagai contoh, jika saya mengalami kecederaan dan slot itu akan diisi oleh pesilat yang sedia untuk beraksi dalam mana-mana kejohanan."


Editor: Ammar Hakim