Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dalam dilema untuk memilih ketua jurulatih terjun kebangsaan selepas mengesahkan pengendali kelahiran China, Li Rui, selaku pengganti Zhang Yukun yang meletakkan jawatan bulan lalu.

Li Rui akan tiba ke Malaysia bulan depan, sekali gus melengkapkan senarai tiga pengendali negara tatkala nama yang turut berada dalam barisan kejurulatihan ASUM adalah Christian Brooker dan Le Teng.

Persoalannya, siapa yang akan menggalas tugas selaku ketua jurulatih terjun negara?

"Ketika ini, tiada ketua jurulatih dan kami rasa semua pengendali mempunyai kekuatan tersendiri. Kami mahu mereka bergabung tenaga dan semua penerjun meraih manfaat," kata Setiausaha Kehormat ASUM, Mae Chen.

"Barisan penerjun kini berada di landasan terbaik kerana buat pertama kali tahun lalu, Malaysia meraih pingat dalam kesemua siri dunia walaupun berdepan beberapa isu seperti masalah jurulatih. Ia tidak memberi kesan kepada kami."

Skuad terjun diletakkan dalam Kluster 1 Sistem Bertingkat bersama badminton dan berbasikal trek selaku prospek penyumbang pingat emas sulung di pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja ASUM dan Majlis Sukan Negara (MSN) turut mengesahkan pengendali kelahiran Poland, Bart Kizierowski, dipilih selaku jurulatih renang kebangsaan menggantikan Paul Birmingham.

Namun, badan induk itu turut menanti kelulusan bagi mendapatkan Chris Martin dari Amerika Syarikat sebagai pengarah teknikal.

"Martin mungkin akan bertugas dalam bidang kejurulatihan serta membantu aspek pembangunan teknikal di setiap negeri," tambahnya.