Nur Dhabitah Sabri menyahut cabaran selaku penerjun negara paling sibuk dalam Kejohanan Terjun Siri Dunia di Sagamigahara, Jepun, bermula 1 Mac ini apabila akan beraksi dalam lima acara.

Dhabitah mengekalkan reputasi selaku penerjun serba boleh dalam skuad negara dan akan beraksi dalam lima acara dalam dua sirkit terakhir Siri Dunia.

Dalam pusingan pembuka tirai di Sagamigahara, penerjun kelahiran Kuala Lumpur itu akan menyertai tiga acara -- kesemuanya dalam terjun seirama.

"Sebelum inipun, saya pernah beraksi dalam banyak acara dan Alhamdulillah saya dapat mengatasi segala rintangan.

"Edisi kali ini sedikit berlainan memandangkan rakan sepasukan, Wendy Ng, belum pulih sepenuhnya dan tempatnya akan digantikan oleh Kimberly Bong. Oleh itu, kami perlu berlatih lebih gigih lagi untuk mendapatkan keserasian.

"Tetapi Insya-Allah semuanya akan berjalan lancar," ujarnya.

Dhabitah, yang akan berlepas ke Jepun, Rabu depan, akan beraksi dalam 10m platform terjun seirama, 3m papan anjal terjun seirama dan 3m papan anjal terjun seirama campuran.

Dia memiliki peluang terbaiknya untuk meraih pingat dalam acara 10m platform terjun seirama apabila bergandingan dengan Pandelela Rinong.

"Kami menggunakan Siri Dunia sebagai medan untuk mempersiapkan diri menghadapi Kejohanan Dunia (Julai depan).

"Kami harap dapat memperbaiki mutu persembahan," kata Pandelela.

Tambah jurulatih negara, Christian Brooker: "Barisan penerjun negara semakin mendapat rentak untuk mengharungi aksi kompetitif.

"Ini adalah kesempatan pertama mereka untuk menangani tekanan sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Dunia."