Gandingan penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee dan Syafiq Puteh, mencipta kejutan untuk menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Malaysia menerusi acara 3 meter papan anjal campuran seirama dalam Kejohanan Terjun Grand Prix (GP) FINA Kuala Lumpur sebentar tadi.

Wendy dan Syafiq tampil menjelaskan mereka hanya mengetahui bakal bergandingan bersama dalam acara itu hanya beberapa jam sebelum pertandingan bermula hasil rancangan jurulatih, Li Rui.

Percaturan berisiko itu membuahkan hasil tatkala kedua-dua penerjun itu kekal konsisten sepanjang lima terjunan untuk meraih 299.22 mata meninggalkan pencabar lain, sekali gus meraih emas.

Perak menjadi milik gandingan Russia, Illia Molchanov dan Elizaveta Kuzina, yang meraih 287.40 mata manakala pasangan dari Switzerland, Jonathan Suckow dan Michelle Heimberg, berpuas hati dengan gangsa menerusi catatan 232.62 mata.

Ia merupakan kejohanan terakhir skuad terjun negara sebelum Sukan SEA Filipina hujung bulan ini selepas mengambil keputusan untuk tidak akan menyertai saingan GP Singapura minggu depan.

"Sebenarnya, ia bukanlah satu risiko kerana saya dan Syafiq pernah bergandingan tiga tahun lalu dalam Kejohanan Dunia. Saya gembira dengan keputusan ini," kata Wendy.

"Strategi memang berjaya kerana ia benar-benar dilakukan pada saat-saat akhir memandangkan Nur Dhabitah Sabri tidak beraksi dalam saingan kali ini.

"Pengurus kami meminta untuk dipertandingkan dalam acara campuran kerana hanya ada dua pasukan. Rugi kalau tidak masuk kerana ada hadiah wang tunai," tambah Syafiq.