Atlet lompat jauh negara, Andre Anura Anuar, bersedia untuk mengambil risiko dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Taiwan hujung minggu ini apabila akan turut menyertai acara lompat kijang walaupun masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan tumit.

Andre sanggup mengambil risiko itu kerana masih belum menyertai sebarang kejohanan membabitkan acara lompat kijang sepanjang tahun ini.

Dia bimbang akan kehilangan teknik asas selepas melakukan catatan 15.91 meter ketika meraih pingat perak dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Ipoh, tahun lalu.

Bagaimanapun, harapan utamanya tetap disandarkan kepada acara lompat jauh selepas meraih pingat perak dalam Kejohanan Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia dengan catatan 7.72m, April lalu.

Malaysia hanya menghantar tiga wakil, termasuk atlet lompat kijang wanita, R. Kirthana, dan jaguh baling tukul besi, Jacky Wong, ke Taiwan.

"Saya mahu menyesuaikan kembali rentak lompatan saya.

"Saya mungkin tidak akan menyasarkan sebarang pingat dalam lompat kijang dan sekiranya saya mendapat sebarang pingat, ia adalah bonus buat saya," katanya.

Sementara itu, jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, masih mempunyai masa untuk melepasi had kelayakan 2.30m ke Kejohanan Dunia selepas meraih pingat emas dalam Terbuka Thailand dengan catatan 2.20m, baru-baru ini

"Saya berasakan ia merupakan keputusan yang bagus.

"Saya berharap akan melakukan yang lebih baik dalam GP Asia selepas ini," katanya.