Jaguh boling tenpin negara, Rafiq Ismail, akur kehadiran pemain profesional Amerika Syarikat (AS) akan mendatangkan cabaran buat dirinya, namun ia tidak melunturkan semangatnya untuk mempertahankan kejuaraan dalam Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia di Sunway Mega Lanes, bermula Jumaat depan.

Kredibiliti Rafiq selaku juara bertahan akan teruji apabila kejohanan edisi ke-40 itu akan menampilkan empat pemain berkelas dunia daripada Sirkit AS.

Selain itu, Rafiq juga perlu berdepan dengan cabaran dalam kalangan rakan sepasukan seperti Adrian Ang, yang menjuarai Kejohanan Terbuka Thailand baru-baru ini.

"Mereka begitu berpengalaman dan saya akan menggunakan kelebihan selaku tuan rumah untuk mengatasi sebarang masalah.

"Ia agak mencabar, namun bola itu bulat, jadi apa-apa boleh terjadi.

"Saya berharap dapat mengekalkan kejuaraan saya memandangkan ia aksi di rumah sendiri," katanya

Rafiq, bagaimanapun, akur dengan tuntutan untuk dia segera mengambalikan prestasi sebenar sejak memenangi Kejohanan Dunia di Hong Kong, Disember lalu.

Sepanjang tahun ini, dia gagal menduduki kedudukan podium menerusi beberapa penampilan dalam Sirkit AS dan Terbuka Thailand.

"Saya meraih kedudukan kelapan dalam pusingan pertama (Terbuka Thailand) sebelum menduduki tangga kedua dalam pusingan kedua.

"Bagaimanapun, saya menamatkan pusingan ketiga di kedudukan ke-20.

"Saya tidak gembira dengan pencapaian itu, namun saya akan kembali berlatih untuk meningkatkan permainan saya," tambahnya.