Peserta yang berminat menyertai Larian Berhalangan Sungkadon di Papar pada 25 Mac depan, masih berpeluang berbuat demikian apabila penganjur melanjutkan tarikh tutup penyertaan sehingga Ahad ini.

Pengarah Urusan Casero Events, Steve Johnny Mositun, berkata tarikh tutup penyertaan sepatutnya tutup pada 28 Februari lalu namun dilanjutkan atas permintaan ramai selain masih ada slot bagi para peserta yang ingin menyertainya.

"Bagaimanapun, peserta yang berminat perlu mendaftar secara manual di Casero Inn di Asia City, Kota Kinabalu selain menghubungi terus pihak kami kerana pendaftaran secara online telah ditamatkan.

"Saya juga menasihatkan mereka yang berminat supaya mendaftar secepat mungkin bagi mengelak kehabisan slot dan pihak kami juga akan membuat laluan larian sesuai dengan jumlah peserta yang telah mendaftar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Larian Berhalangan Sungkadon edisi kedua ini berlangsung di Kampung Sungkadon dan Vovoung di Papar dengan dua kategori bakal dipertandingkan iaitu kategori Lelaki/Wanita Elit Terbuka serta 'Fun Run' Terbuka.

"Setakat ini, antara laluan yang bakal dihadapi peserta termasuk 'rope climbing', 'wall spider web' dan 'traditional sling shoot'. Beberapa lagi halangan akan turut dibuat dan kami akan maklumkan kemudian.

"Jarak larian juga kekal seperti tahun lalu iaitu sejauh 6 kilometer, tetapi laluan larian telah diubah bagi memberi lebih cabaran kepada peserta," katanya.

Mereka yang berminat menyertai larian itu boleh melayari laman facebook di page www.facebook.com/caserosabah atau hubungi talian 017-8017075 (Helena) dan 019-5326399 (Roger).