Ketua jurulatih skuad bola keranjang wanita negara, Yoong Sze Yuin, akan memastikan penguasaan Malaysia di pentas Asia Tenggara berterusan dalam acara itu menerusi peruntukan khas untuk pembangunan atlet wanita di bawah Belanjawan 2020.

Kerajaan menerusi pembentangan Bajet 2020 mengasingkan peruntukan bernilai RM10 juta untuk program pembangunan atlet wanita.

Selain sukan seperti terjun dan gimnastik artistik yang sering menghadiahkan kejayaan buat kontinjen negara di pentas antarabangsa, bola keranjang wanita sentiasa konsisten dalam Sukan SEA.

Kerana itu, Sze Yuin berpandangan tugasnya sebagai ketua jurulatih bukan sekadar mengepalai skuad elit tetapi memastikan pengganti berkualiti untuk pembentukan pasukan masa akan datang tidak berdepan masalah.

"Kami cuba membentuk skuad pembangunan dan memerlukan pemain-pemain muda untuk terlibat dalam latihan skuad kebangsaan, sekali gus meningkatkan mutu pasukan," kata Sze Yuin.

Sementara itu, skuad negara akan mengharungi dua lagi saingan pemanas badan sebelum kempen Sukan SEA Filipina.

Bermula 22 Oktober ini, Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) menganjurkan Kejohanan Jemputan di Kuala Lumpur sebelum skuad kendalian Sze Yuin itu berlepas ke Jepun.

"Skuad negara akan menghadapi beberapa perlawanan sebagai persiapan dan medan menguji kualiti permainan menjelang Sukan SEA bulan depan," ujar jurulatih itu.