Syed Saddiq kecewa atlet guna media sosial, tidak bersemuka

Oleh Staff Writer 17 Januari 2019 15631
Syed Saddiq kecewa atlet guna media sosial, tidak bersemuka
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, mencabar atlet negara bertemunya jika tidak berpuas hati dengan dasar kerajaan dan bukannya meluahkan rasa kecewa di media sosial. 

Ia merujuk kepada isu atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin, yang mengkritiknya secara terbuka di samping tiga pemanah compound yang meninggalkan skuad kebangsaan.

Tindakan atlet negara mengkritik menteri secara terbuka mencetuskan impak negatif di media social dan ia menyebabkan berlakunya situasi janggal memandangkan atlet menerima bantuan kerajaan, namun pasti wujud kekecewaan sehingga mereka bertindak demikian.

Untuk menyelesaikan kemelut itu, Syed Saddiq meminta sebarang isu diselesaikan secara rundingan bagi menjaga imej sukan negara.

"Kritikan itu perlu dilakukan dalam saluran yang betul," ujar Syed Saddiq.

"Jika benar ia merupakan masalah yang perlu diselesaikan, kami boleh mencari jalan penyelesaian bersama.

"Yang menjadi masalah adalah dia tidak berusaha langsung untuk menemui saya dan meluahkan perasaan di laman sosial.

"Apa yang diluahkannya itu turut bertentangan dengan apa yang dijelaskan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM). Situasi itu akan mendorong kepada salah faham."

Antara punca utama yang menyebabkan beberapa atlet negara tidak berpuas hati adalah berkaitan tawaran Sistem Tier memandangkan ia jauh berbeza dengan apa yang mereka nikmati dalam Program Podium, sekali gus menambah tekanan untuk mencapai sasaran ditetapkan.

Dalam soal itu, Irfan dilaporkan kecewa kerana permohonannya berlatih di Eropah ditolak selepas hilang khidmat jurulatih, Frank Petrovic, yang ditamatkan kontrak.

"Jawapan yang telah diberikan MSN dan KOM merupakan jawapan rasmi. Kami juga ingin mengetahui apa sebenarnya yang menjadi masalah di sebalik isu ini," kata Syed Sadiq.

"Saya sendiri cuba menghubungi Irfan pagi tadi. Saya mendapat maklum balas bahawa dia ingin mengadakan pertemuan Sabtu ini.

"Malangnya, saya tidak berkesempatan menemuinya pada tarikh itu.

"Perkara terbaik adalah untuk mengadakan pertemuan secepat mungkin kerana apa yang disampaikannya tidak sama dengan apa yang disampaikan MSN dan KOM. Mungkin terdapat salah faham yang saya perlu fahami dalam isu ini."

Irfan meluahkan kekecewaannya di media sosial hari ini selepas cadangannya untuk program latihan 2019 tidak mendapat kelulusan MSN.

Antara perancangan buat atlet berusia 23 tahun itu adalah mendapatkan khidmat jurulatih dari Republik Czech, Imrich Bugar, di samping kem latihan di negara berkenaan selama hampir tiga bulan.

Namun, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) di antara MSN dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 15 Januari lalu tidak menerima cadangan Irfan kerana timbul keraguan mengenai latar belakang jurulatih berkenaan.

Pengarah Bahagian Persediaan Atlet MSN, Jefri Ngadirin, menjelaskan pihaknya sedia untuk mendengar apakah perancangan lebih terperinci oleh Irfan, namun segalanya kini terpulang kepada kesediaan atlet itu sendiri bagi mengadakan pertemuan.

"Sebenarnya, kami telah mengaturkan perjumpaan dengan dia minggu ini dan semalam kami cuba menghubunginya untuk menetapkan masa dan tarikh bagi membolehkan KOM dan kami bertemu dia, sekali gus melakukan perbincangan. Namun, sehingga kini kami masih belum menerima sebarang pengesahan," kata Jefri.

Tentang Penulis

Staff Writer

Comment