Pemain skuasy negara, Syafiq Kamal, kini fokus untuk menghadapi Kejohanan Skuasy Terbuka Australia dari 3 hingga 7 Julai depan serta saingan siri cabaran memandangkan dia tidak akan terbabit dengan Sukan SEA 2019.

Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) mengambil langkah drastik dengan mempertaruhkan barisan pelapis dalam temasya Filipina 2019 dari 30 November hingga 11 Disember itu.

Bagaimanapun, Syafiq optimis dalam misinya menambah gelaran juara, bermula dengan Terbuka Australia.

"Saya belum berpuas hati dengan kejayaan tunggal musim ini.

"Jadi, saya memburu lebih banyak kemenangan dan sasaran saya adalah untuk menjuarai dua atau tiga kejohanan lagi," katanya ketika ditemui dalam sesi latihan di Bukit Jalil.

Tambah juara Kejohanan Skuasy SRAM PSA 1, April lalu itu, ini merupakan peluangnya untuk mencapai sasaran peribadi dengan memperbaiki ranking dunianya di tangga ke-88 ketika kini.

"Saya mahu menempatkan diri dalam kelompok 60 terbaik dunia. Untuk itu, saya perlu memenangi beberapa kejohanan lagi," ujarnya.

Untuk rekod, Syafiq meraih 100 kemenangan, 68 kekalahan dan telah beraksi dalam 72 kejohanan sepanjang karier profesionalnya.