Dokumentari terbitan Astro Arena, Sumpahan Belly Flop, merupakan penyerahan terbaik Asia bagi Anugerah Persatuan Media Sukan Antarabangsa (AIPS) 2019.

Laporan khas daripada wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, yang dihantar bagi kategori Video Pendek, memfokuskan kepada penerjun negara, Loh Zhiayi, selepas mengalami kecederaan ketika melakukan terjunan belly flop pada 2017.

Ia telah mengakibatkan kondisi penglihatannya mengalami glaucoma dan terpaksa direhat untuk jangka masa panjang.



"Majoriti peminat hanya ketawa apabila seseorang penerjun melakukan kesilapan belly flop.

"Realitinya, penerjun berdepan risiko cacat seumur hidup.

"Saya pernah menyaksikan puluhan belly flop dimana ada dikalangan penerjun itu mengalami masalah penglihatan dan psikologi.

"Semoga laporan ini dapat beri maklumat mengenai risiko belly flop dan menguatkan semangat penerjun untuk bangki semula," kata Bazly.

Anugerah bagi kategori itu telah dimenangi oleh Leibman Production's Sign At All Times, manakala NBC Sports' Hope: The Gabe Grunewald Story dan Olympic Channel's Legends Live On: Matthias Steiner masing-masing mengakhiri saingan di tempat kedua dan ketiga.

Bazly merupakan antara empat wakil negara tercalon bagi Anugerah Aips kali ini disertai oleh Wong Fok Loy (Jurugambar), Jasni Shafie (Dokumentari Video) dan Amirul Adnan Ali (Jurugambar Kewartawanan).