Pengerusi Majlis Sukan Negeri Selangor, Khairuddin Othman, percaya penganjuran Kejohanan Sukan Selangor (SUKSES) mampu melahirkan bakat-bakat baru buat kontinjen Selangor untuk menjadi juara keseluruhan dalam Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020.

Edisi ke-13 itu akan disertai 1,800 atlet dengan 308 pingat ditawarkan daripada 117 acara.

Sebanyak lapan jenis sukan akan dipertandingkan bermula Isnin depan, termasuk olahraga, badminton, sepak takraw dan boling tenpin.

"Kami mencari bakat untuk diketengahkan dalam Sukma di Johor, Julai tahun depan.

"Jadi, ia telah menjadi program tahunan kami.

"Kami membuka kepada seberapa banyak persatuan, pertubuhan dan perseorangan yang berasakan mereka layak untuk mewakili Selangor," katanya.

Dalam Sukma Perak tahun lalu, Selangor sekadar meraih tempat ketiga keseluruhan, sekali gus gagal mempertahankan kejuaraan yang diraih dalam edisi 2016 di Sarawak.

Dalam pada itu, Khairuddin turut mengharapkan sokongan daripada ibu bapa atlet dalam membentuk jaguh muda yang mampu mendukung cabaran Selangor dalam temasya di Johor itu.

"Sasaran kami kali ini, kami berharap ibu bapa (atlet) dan penyokong akan datang menyaksikan program yang disebut sebagai karnival ini.

"Saya harap dengan adanya karnival ini, ia akan dapat memberikan motivasi buat atlet," tambahnya.