Pasukan hoki lelaki dan wanita Sabah mencipta sejarah apabila buat kali pertama layak ke final acara berkenaan dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak.

Dalam aksi separuh akhir di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di Ipoh, petang tadi, Sabah mengejutkan tuan rumah, Perak, 3-2 menerusi penentuan pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam masa sebenar permaianan.

Sabah mendahului 1-0 pada suku pertama perlawanan menerusi jaringan padang Granson Noel Goden pada minit ke-15.

Bagaimanapun, Perak menyamakan kedudukan pada minit ke-20, juga menerusi jaringan padang oleh Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal bagi menjadikan kedudukan 1-1.

Pada suku ketiga perlawanan, Perak lebih banyak melakukan serangan, namun kecemerlangan penjaga gol Sabah, Andrian Andy Albert, menggagalkan usaha tuan rumah mendapatkan gol pendahuluan.

Sebaliknya, Sabah yang sesekali melakukan serangan memperoleh gol kedua pada minit ke-45 menerusi Muhammad Saifuddin Azli hasil satu pukulan sudut penalti bagi menjadikan kedudukan 2-1.

Jaringan itu, bagaimanapun, tidak mematahkan semangat Perak yang mengikat kedudukan pada minit ke-55.

Gol itu dijaringkan Muhammad Najme Ahmad Hayazi menerusi satu pukulan sudut penalti dan kedudukan 2-2 itu kekal sehingga tamat permainan, seterusnya mengheret permainan ke penentuan pukulan penalti.

Nasib ternyata lebih berpihak kepada Sabah apabila mengatasi Perak 3-2 untuk layak ke final buat kali pertama dalam sejarah penyertaan Sukma.

"Alhamdulillah, kami melengkapkan misi ke final walaupun mendapat tentangan sengit daripada Perak.

"Untuk mengatasi tuan rumah (Perak) adalah sesuatu yang hampir mustahil kerana kita tahu kekuatan mereka.

"Bagaimanapun, semangat juang tinggi yang ditunjukkan para pemain membawa kami ke final. Saya juga memuji disiplin pemain di atas padang, mereka mengadaptasikan taktikal yang dirancang," katanya.

Terdahulu, skuad hoki wanita Sabah turut mara ke final selepas menundukkan Wilayah Persekutuan 2-1 dalam aksi separuh akhir wanita.

Dua jaringan pukulan sudut penalti menerusi Florvenia Silverus dan Inka Shafika Juani, masing-masing pada suku pertama dan ketiga perlawanan, sudah cukup untuk pasukan itu mencipta sejarah mara ke final buat kali pertama.

Wilayah Persekutuan yang sebelum ini dikatakan pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan itu memperolehi gol sulung mereka menerusi Qasidah Najwa Muhammad Halimi pada minit ke-23 dalam suku kedua permainan.

Lawan pasukan wanita Sabah dalam final nanti ialah Selangor yang mengatasi Terengganu 1-0 dalam separuh akhir.