Atlet menembak Terengganu, Safirredzuan Salim, meraih emas keduanya dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018 apabila menjuarai saingan 25 meter pistol lelaki, hari ini.

Safirredzuan melakukan bidikan konsisten untuk merakam 564 mata bagi memastikan emas buat Terengganu.

Atlet berusia 21 tahun berkenaan berpuas hati dengan kejayaannya meraih emas dalam saingan 25m pistol selepas memenangi emas dalam saingan 25m standard pistol lelaki.

"Kejayaan ini tidak dijangkakan walaupun kami menaruh harapan bagi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi di Sarawak.

"Kami sangat-sangat bangga dengan pencapaian kali ini sebab kami ketinggalan dengan pencabar-pencabar yang lain," katanya.

Dalam pada itu, Syaidiq Hanif, Low Wei Chern dan Muhammad Ridwan Awaludin merangkul emas saingan berpasukan 25m pistol lelaki.

Trio pahang tersebut meraih 1,669 mata untuk memastikan emas bagi membolehkan Pahang muncul juara keseluruhan menembak Sukma dengan jumlah sembilan emas.

Pencapaian itu mengangkat Pahang untuk muncul juara keseluruhan menembak buat kali keenam berturut-turut sejak 2008.

"Alhamdulillah, secara keseluruhannya semangat berpasukan memainkan peranan, bermula daripada atlet, jurulatih, pengurusan dan majlis sukan negeri.

"Kami saling bertukar-tukar pandangan demi memastikan atlet di landasan tepat dalam pemburuan pingat," kata pengurus skuad menembak Sukma Pahang, Al Muhaimin Ali.