Atlet lompat kijang Sabah, Andre Anura @ Anuar, mengakui sedikit tekanan dalam final Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Stadium Perak, pagi tadi.

Bagaimanapun, atlet yang berasal dari Tenom itu berkata dia berjaya menenangkan diri dan mengawal tekanan sehingga membolehkannya melakukan lompatan dengan baik.

Andre, 19, bukan saja menceriakan kem Sabah apabila menggondol emas acara itu, malah dia turut memperbaharui rekod temasya selepas melakukan lompatan sejauh 15.91m untuk meleburkan rekod 15.75m milik atlet Kedah, Ahmad Firdaus Salim, dalam Sukma 2008 di Terengganu.

Pingat perak acara itu diraih Jit Sung dengan lompatan sejauh 15.44m manakala Muhamad Nazri Mustafa dari Kelantan sekadar berpuas hati dengan gangsa selepas melakukan lompatan 15.12m.

"Sebelum turun beraksi, saya yakin mampu memperbaharui rekod Sukma kerana pencapaian terbaik peribadi saya ialah 15.95m.

"Saya juga menerima tentangan sengit daripada peserta tuan rumah, (Lau Jit Sung). Bagaimanapun, saya berjaya tenangkan diri dan mengawal tekanan untuk memenangi acara itu," katanya.

Sementara itu, walaupun sudah memenangi emas serta memecahkan rekod temasya, Andre tidak mahu cepat berpuas hati, sebaliknya ingin berusaha memperbaiki lompatannya.

"Saya perlu meningkatkan kelajuan serta rentak larian untuk mendapatkan jarak yang bagus selain teknik lompatan juga perlu dipertajamkan lagi," kata atlet pelapis kebangsaan itu.