Sejarah tercipta buat kontinjen Terengganu apabila buat pertama kalinya dalam tempoh 10 tahun, skuad renang mereka akhirnya mengukir pingat emas di pusat akuatik hasil usaha perenang muda, Arvin Shaun Singh Chahal, dalam acara 400 meter gaya bebas.

Kali terakhir Terengganu dapat menuai emas dalam acara renang adalah pada edisi 2008 ketika Terengganu sendiri menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) menerusi perenang wanita, Carmen Ooi.

Kini, selepas 10 tahun, mereka akhirnya kembali menghadirkan sebutir emas tatkala Arvin yang diimport dari Kuala Lumpur, memenangi acara 400m gaya bebas dengan catatan 4 minit 00.59 saat.

Bagi Arvin, ia pencapaian yang cukup membanggakan memandangkan penyertaan pertamanya dalam Sukma edisi 2016 di Sarawak berakhir hampa tanpa pingat.

"Saya berusaha keras, tidak kira siang dan malam, hadir dari Australia untuk kembali ke Malaysia hanya untuk cuba mendapatkan emas di sini," kata Arvin.

Turut mencuri tumpuan adalah perenang dari Selangor, Ng Jin Fu, yang melakar rekod baru kejohanan dalam acara 200m kuak dada lelaki.

Dia yang baru berusia 16 tahun dan membuat penampilan pertama dalam Sukma mengungguli acara itu dengan catatan masa 2:17.47s, memperbaiki rekod lama yang dilakukan Daniel Lim Jun Lian, juga dari Selangor, ketika edisi 2016 di Sarawak dengan masa 2:19.12s.

"Saya menjangkakannya tetapi sedar harus berusaha keras kerana ini Sukma pertama saya. Jadi, saya sangat gembira kerana mencipta rekod baru," ujar Jin Fu.