Skuad angkat berat Wilayah Persekutuan akan menerima tamparan hebat jika acara itu digugurkan daripada Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 selepas muncul juara keseluruhan acara itu dalam edisi di Perak, tahun lalu.

Wilayah Persekutuan meraih sembilan pingat emas dalam edisi tahun lalu dan mereka tetap komited untuk menjalani latihan walaupun status sukan itu masih belum diputuskan.

Mereka optimis angkat berat akan tetap dipertandingkan dalam Sukma Johor 2020 dan bersedia untuk mempertahankan sembilan pingat emas yang diraih sebelum ini.

"Ada atlet yang sudah memilih untuk menyambung pengajian dan kami masih tertanya-tanya tentang status angkat berat dalam Sukma kali ini. Harap-harap ia akan terus dipertandingkan," kata atlet kategori 109 kilogram, Ahmad Fadhil Ahmad.

"Kami sudah menjalankan persiapan sejak dari awal lagi dan kami berharap untuk angkat berat dipertandingkan dalam Sukma nanti," kata atlet kategori 69 kilogram, Zakaria Azman.

Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma bulan depan akan memutuskan 30 jenis sukan yang akan dipertandingkan, dengan status angkat berat masih tergantung ekoran tiga kes positif doping dalam edisi tahun lalu itu.

"Kami tidak terkesan dengan berita yang timbul baru-baru ini.

"Kami percaya perkara itu akan dapat diselesaikan dan angkat berat akan dipertandingkan dalam Sukma 2020," kata Setiausaha Persekutuan Angkat Berat Wilayah Persekutuan (PABWP), Ahmad Janius Abdullah.