Perak mensasarkan peruntukan sejumlah RM 162 juta bagi tujuan penyelenggaraan, penambahbaikan dan pembinaan baharu kemudahan sukan di negeri ini sempena Sukan Malaysia (Sukma) 2018.

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir kerja-kerja awal ini telah pun bermula. Ianya bagi memastikan setiap kerja mengikut jadual yang dikehendaki.

Tambah Zambry, "lokasi acara Sukma telah pun dikenalpasti dan ianya melibatkan setiap daerah di negeri ini.

Ini sebagai satu penghormatan kepada rakyat Perak kerana acara Sukma kali ini tidak hanya tertumpu di bandar besar seperti Ipoh, malah ianya dapat dinikmati di setiap daerah mengikut kategori sukan", katanya sejurus selepas majlis Perasmian Program Podium Negeri Perak hari ini.

Pembinaan prasarana sukan dijangka siap Januari tahun hadapan.