Tiada tiket percuma buat mana-mana gimnas untuk membarisi skuad lelaki negara dalam Sukan SEA Filipina, November depan, termasuk dua tonggak utama, Jeremiah Loo dan Tan Fu Jie.

Jurulatih skuad lelaki, Ng Shu Liang, sudahpun merancang tiga sesi pertandingan simulasi sejak 7 Mei lalu untuk menentukan kelayakan atlet ke Sukan SEA.

Dengan ketiadaan acara berpasukan dalam temasya di Filipina itu, hanya empat atau lima gimnas akan dipilih untuk mewakili negara.

Pendekatan itu diharapkan dapat meningkatkan kualiti latihan pusat, terutama buat sandaran meraih pingat emas, Jeremiah dan Fu jie.

"Kami mempunyai satu kejohanan lagi yang akan diadakan di Singapura, 1-3 Jun ini.

"Selain itu, kami juga akan menghadapi Kejohanan Asia di Mongolia bulan depan.

"Atlet akan dipilih melalui ujian yang diadakan.

"Ujian itu tidak hanya diadakan sekali tetapi sebanyak tiga kali.

"Daripada tiga ujian itu, dua mata tertinggi akan diambil untuk dihitung secara purata.

"Kemudian, kami akan mengadakan perbincangan," kata Shu Liang.

Dalam pada itu, Jeremiah dan Fu Jie mencipta rekod peribadi apabila melayakkan diri ke pentas final siri kejohanan bertaraf Piala Cabaran Dunia di Zhaoqing, China, semalam.

Ia prestasi yang membanggakan meskipun kedua-dua atlet itu gagal menempatkan diri di kedudukan podium.