Atlet petanque negara, Syed Akmal Fikri Syed Ali, tidak gentar dengan reputasi hebat Thailand dalam Sukan SEA meskipun memori kekalahan dua tahun lalu dalam acara triple lelaki masih sukar dilupakan.

Kekecewaan terlepas pingat emas diharap mampu mematangkan Akmal yang kini semakin bermotivasi tinggi memperbaiki prestasi, tujuh bulan sebelum temasya Sukan SEA bermula.

Masih belum pasti sama ada beraksi dalam acara double atau triple lelaki, Akmal sudah bersedia sepenuhnya jika ditakdirkan berdepan peserta Thailand yang dilihat jauh lebih berpengalaman.

"Sebelum ini, kami kalah tipis kepada Thailand 13-12. Memang agak mengecewakan.

"Insya-Allah, kalau latihan mencukupi di bawah tunjuk ajar jurulatih, kami mahu mendapatkan pingat emas," katanya.

Pengurus pasukan, Datuk Abdul Rahim Mohd Noor, berpesan kepada atletnya agar tidak sama sekali gentar dengan Thailand.

Beliau positif jurang di antara pasukan semakin mengecil dan atlet negara berkemampuan mengejutkan Thailand dalam Sukan SEA, Ogos depan.

Dua tahun lalu, Thailand membolot lapan daripada 10 pingat emas yang dipertandingkan di Sukan SEA Singapura, dengan Malaysia dan Vietnam sekadar meraih satu emas.

"Memang Thailand adalah pilihan untuk memenangi banyak acara. Tetapi kami pun membuat persediaan yang rapi juga. Dengan kekentalan psikologi dan teknik latihan, kami mampu memberi kejutan," kata Abdul Rahim.