Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) akan memanggil semula dua bekas atlet negara selain turut mengenal pasti beberapa atlet berpotensi untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan selepas berlangsungnya Kejohanan Karate Terbuka Kebangsaan di Serdang, hari ini.

MAKAF bersetuju untuk memanggil semula I. Kunasilan dan Pressy Misty Philip yang pernah mewakili negara di peringkat Sukan SEA.

Kunasilan antara atlet yang menyumbang pingat emas dalam Sukan SEA Filipina 2005 dan gangsa dalam edisi Myanmar 2013.

Pressy pula meraih perak dalam Sukan SEA Kuala Lumpur dua tahun lalu.

"Dalam skuad Sukan SEA kali ini, kami akan mengambil semula atlet yang pernah meraih pingat dalam edisi terdahulu.

"Terdapat juga atlet baru dalam beberapa kategori akan diserapkan ke dalam skuad kebangsaan.

"Setakat ini, terdapat enam orang sudah terpilih untuk mewakili negara," kata Setiausaha Agung MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad.

MAKAF menyenaraikan empat muka baru, iaitu Ausdrey Japyus, M. Sri Ramesh, Ellen Rachel dan Sethu Qoshin untuk mengikuti program latihan skuad kebangsaan sebagai persediaan ke Sukan SEA Filipina, November depan.

Nur Azmi menjelaskan pemilihan atlet berkenaan turut dinilai berdasarkan beberapa kriteria tambahan lain.

"Pemilihan ini bukan sahaja melibatkan juara dalam setiap kejohanan tetapi ia merangkumi kriteria teknikal di atas gelanggang.

"Atlet negara yang tewas di peringkat final masih berpeluang untuk mewakili negara berdasarkan siapa lawan mereka ketika itu," tambahnya.