Misi skuad bola keranjang wanita negara untuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA semakin sukar ekoran persaraan lima pemain senior.

Perkembangan itu disahkan ketua jurulatih, Yoong Sze Yuin, hari ini.

Lima pemain berkenaan termasuk kapten pasukan, Izzati Yakob.

"Memang susah untuk membina kembali komunikasi dan taktikal pasukan.

"Ia memerlukan masa, namun kami perlu berfikiran positif kerana pemain remaja tidak takut untuk berdepan lawan seperti Filipina.

"Mereka tidak tertekan dan boleh bermain dengan sepenuhnya.

"Itulah perkara positif yang saya fikirkan," kata Sze Yuin

Situasi itu memaksa Sze Yuin untuk menguji bakat daripada program remaja kebangsaan.

Saingan domestik seperti Liga Kebangsaan dan Piala Agong akan dimanfaatkan bagi mencari pemain berpotensi untuk diserapkan ke dalam skuad negara.

"Sepanjang tiga bulan depan, liga akan bermula.

"Mereka akan beraksi pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad setiap minggu.

"Saya akan menilai mereka sepanjang tempoh itu," tambahnya.