Kapten pasukan bola jaring kebangsaan, Nurul Adha Abu Bakar, berharap kehadiran ketua jurulatih baru bola jaring kebangsaan dari Australia mampu membawa perubahan positif menjelang temasya Sukan SEA, Ogos depan.

Tracey Robinson mula mengendalikan skuad bola jaring negara sejak 13 Februari lalu, dengan Aminah Asaari pula beralih arah sebagai pembantu jurulatih.

Skuad negara menyambut baik kehadiran jurulatih yang pernah menjadi tulang belakang kejayaan mereka ketika menamatkan kemarau 31 tahun untuk menjuarai Kejohanan Bola Jaring Asia, tahun lalu.

"Tracey Robinson pernah membimbing kami sehingga mampu menjuarai Kejohanan Bola Jaring Asia, tahun lalu.

"Sejak dia dilantik, memang terdapat perubahan ketara dalam skuad bola jaring wanita negara," kata Nurul Adha.

Bagaimanapun, Robinson hanya akan berada di Malaysia selama dua minggu setiap bulan kerana masih terikat dengan urusan peribadi di Australia sebelum mula melatih sepenuh masa bermula Jun depan.

Robinson yang sudah serasi dengan barisan pemain negara, bakal membawa mereka ke Hong Kong pada Mac depan selama dua minggu untuk aksi persahabatan selain latihan intensif sebagai persiapan awal menghadapi Sukan SEA.

"Kami akan ke Hong Kong bulan depan. Di sana, kami telah mengatur perlawanan dengan Hong Kong, Zimbabwe dan Hong Kong bawah 21 tahun.

"Ia merupakan langkah terbaik kami sempena persiapan menghadapi Sukan SEA nanti.

"Jelajah ke Hong Kong akan memberi saya peluang untuk menilai perkembangan anak buah saya, sama ada tahap mereka semakin maju selepas kejayaan dalam Kejohanan Bola Jaring Asia, tahun lalu," kata Robinson.